KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mengadakan mesyuarat khas Biro Politik serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Menerusi hantaran di laman Twitter beliau hari in, katanya tarikh PRU15 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Parlimen dibubarkan hari ini 10/10/22 (10 Okt 2022). Tarikh #PRU15 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya @sprgovmy.

"Pukul 5 petang hari ini, Isnin, Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO akan diadakan. Pukul 8 malam hari ini juga, Mesyuarat Khas MKT UMNO akan diadakan. Di #WTCKL. Salam perjuangan," katanya ringkas.

Difahamkan, mesyuarat itu antara lain akan membincangkan segala persiapan jentera pilihan raya selain persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Mesyuarat khas itu juga dijangka akan turut membincangkan keputusan untuk memuktamadkan bentuk kerjasama dengan Pas pada PRU15.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada pukul 3 petang.

Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Ismail Sabri meninggalkan bangunan Perdana Putra pukul 4.47 petang selepas selesai perutusan khas itu dan dijadualkan menghadiri kedua-dua mesyuarat Biro Politik serta mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO itu.

"Saya dah umum (pembubaran) tadi. Saya nak ke mesyuarat Biro Politik UMNO pukul 5 petang ini," katanya kepada pengamal media yang telah berkampung di hadapan bangunan Perdana Putra sejak pukul 8 pagi.

Antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang kelihatan hadir setakat pukul 5 petang ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid; Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.